Selamat Berpuasa Kepada Semua Warga Muslim FSC.

Friday 29 July 2011


Ramadhan 2011 bersamaan 1432 Hijrah

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera,
Ramadhan 2011 bersamaan 1432 Hijrah kini kian tiba. Hati setiap mukmin sejati tidak lagi sabar untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berakah ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan amalan diri. Di sini saya, mewakili AJK Tertinggi Food Science Club (2011/2012) mengambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya dan juga sahabat-sahabat yang beragama islam yang lain supaya memanfaatkan segala kelebihan  yang ada pada bulan  yang mulia ini untuk beribadah seikhlas mungkin kepada Allah s.w.t semata-mata mengharap keredhaanNya.

Manfaatkan segala kelebihan yang ada
dibulan Ramadhan
Berikut adalah contoh-contoh hadis yang berkaitan dengan kelebihan bulan Ramadhan yang saya kongsikan untuk renungan bersama.

  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu."
  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

2) Kelebihan berpuasa
  • Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."
  • Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun."



3) Akhlak sewaktu berpuasa
  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa."
  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)."



4) Kelebihan bersahur
  • Diriwayatkan daripada Anas RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya."



5) Kelebihan menyegerakan berbuka
  • Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa."



6) Kelebihan Solat Tarawih dalam bulan Ramadan
  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: "Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."



7) Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya
  • Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan."



8) Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar

  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."



9) Beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan
  • Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.

10) Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan
  • Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.


11) Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa

  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah.


Mohon keampunan dan keinsafan
atas dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Akhir kata, semoga Ramadhan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita yang kita lalui dengan keikhlasan sepenuhnya untuk mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu. Amin.





0 comments:

Post a Comment


Labels

UMT Food Science Club. Powered by Blogger.